Thursday 5 January 2012

Rasionalkan pemikiranmu


Ada waktu ketika, hidup ini akan suram seketika, sama ada suram kerana mendapat berita buruk ataupun sesuatu yang seseorang tidak sukai.


Ada yang melabelkan hidup ini tidak adil, ada yang berkata pula hidup ini tiada yang menyeronokkan dan pelbagai tafsiran tentang hidup ini.


Jika dilihat daripada sisi kaca mata mereka yang menderita, sudah pasti perkataan itu akan keluar daripada mulut mereka yang miskin tetapi sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka yang hidup dalam keadaan mewah dan kaya raya dengan harta dunia, sudah pasti mereka akan menyebut hidup ini menyeronokkan.


Berapa ramai di luar sana, yang mempunyai harta mewah tetapi tidak bahagia dengan kehidupannya? berapa ramai di luar sana yang hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetapi bahagia dengan kehidupan mereka? Ya, hidup ini tidak adil jika dilihat daripada sudut itu.


Tetapi dunia ini adil jika dilihat erti kesyukurannya. Mungkin disebalik kekurangan tersebut ada kebahagiaan dan mungkin juga disebalik kesenangan itu ada ujian yang akan menimpa.


Manusia perlu tahu hakikat kehidupan. Hidup ini tidak akan pernah puas. Sudah dibeli kereta proton mahukan kereta BMW, sudah ada kereta tersebut mahukan pula rumah banglow dan sebagainya. Itu hanya contoh tetapi sampai mana kepuasan dan kebahagiaan tersebut? di mana penghujungnya?


Hakikatnya manusia perlu mengetahui, manusia mengejar dunia bukan dunia yang mengejar manusia.


Kembalilah pada tuhan yang satu. InsyaAllah, kesyukuran akan hadir.

Wednesday 4 January 2012

SAHABAT ITU CERMINAN DIRI KAMU




Sahabat sejati umpama sebuah pohon yang rendang  untuk berteduh.


Anda faham maksud pepatah tersebut?


Bayangkan sahabat anda adalah sebuah pohon yang rendang, kemudian, apabila hujan dan terik matahari anda cepat-cepat berlari ke arah pohon tersebut. Boleh?


Boleh anda bayangkan jika anda dikurniakan Allah sahabat seperti itu? tatkala musibah melanda sahabat anda itulah orang yang pertama menghulurkan bantuan.


Tatkala anda menghadapi tekanan dan desakan hidup, sahabat anda itulah peneman sejati,


Tatkala anda bersedih dan kemurungan, sahabat anda itulah yang menjadi pengubat duka,


Dia sedia menghulurkan bantuan walaupun dia sendiri berada dalam kesusahan,


Dia menghulurkan senyuman kepada anda walaupun dia sendiri menderita dengan masalah sendiri,


Apabila anda gembira, dialah orang yang pertama merasai kegembiraan tersebut dan apabila anda bersedih, dialah orang yang pertama turut merasai kesakitan itu.


sahabat sejati itu sepohon pokok yang rendang, maka, jangan dilepaskan sahabat seperti itu kerana kehadirannya adalah anugerah. 


~hargai sahabat anda~

Monday 2 January 2012

Cintailah Sahabat Anda Lebih Daripada Nyawa Anda



Hari ini, saya masih diberikan peluang untuk menulis, berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman disamping sedikit coretan untuk sama-sama kita menghargai betapa bertuahnya mempunyai sahabat yang baik.


Hari ini saya masih mempunyai sahabat yang baik, sahabat yang sering mengingatkan saya kepada Allah, sentiasa berkongsi ilmu yang bermanfaat. Hari ini sahabat yang saya kasihi terpisah agak jauh nun di beberapa buah negeri dan ada juga yang sedang belajar di luar negara.


Saya masih menghargai mereka, menghargai nikmat persahabatan dengan mereka. Setiap kali saya mengingati  sebuah persahabatan pasti akan mengalirnya air mata. Allah campakkan saya dalam suasana yang amat menguji diri. Hari ini saya masih bersyukur dan akan terus bersyukur kerana dikurniakan sahabat yang baik. Hari ini saya akan cuba berusaha memperbaiki diri, mengubah diri untuk terus menjadi sahabat yang baik buat dirinya.


Kemuncak persahabatan yang baik adalah mengajak sahabat-sahabat anda mengenali Allah dengan lebih dekat menerusi ilmu yang telah disampaikan Allah kepada Nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w. Tanpa ilmu yang sahih, seseorang itu tidak akan dapat mengenali Allah, bahkan akan tergerak di hati mereka untuk mengenali Allah dengan menggunakan akal fikiran tanpa disandarkan wahyu.


Itulah kemuncak persahabatan yang mulia. Persahabatan itu tidak akan indah tanpa perantaraan kerana Allah. Apabila sahabat anda melakukan kesalahan, pasti sebuah persahabatan itu akan retak sekiranya tidak didasari dengan emosi yang stabil dan juga saling berlapang dada.


Tetapi...


Sahabat yang baik, akan cuba mengawal persahabatan itu dengan sebaik-baiknya. Sedaya upaya dia akan cuba memperbaiki kesalahan tersebut dan dibuangnya jauh-jauh kisah yang mendukakan itu. Baginya, sahabatnya itu patut didahulukan daripada emosinya. Sayangnya sahabatnya itu melebihi dirinya sendiri. Dia tidak mahu persahabatannya retak dan hancur lulur.


Ya, persahabatan yang indah itu sukar di 'renew' sekiranya tiada perancangan yang baik. Cubalah sebaik mugkin menghargai sahabat anda itu. Berhadiahlah sekiranya mampu kerana berhadiah itu mampu menimbulkan kasih sayang. Jika mampu lagi, lawatlah sahabat anda itu. Jika dia berada di luar negara, maka jika anda mampu dan benar-benar ingin menemuinya kerana Allah, maka lawatan anda itu tidak akan sia-sia kerana niat anda itu sudah betul.


Ya, sungguh indah jika ianya menjadi kenyataan, saling bertemu kerana Allah, berpisah jua kerana Allah, mungkin anda salah seorang daripada Naungan Arasyh Allah kelak? siapa tahu. Bertemu dan berpisah kerana Allah, anda hargai sahabat anda sendiri lebih daripada diri anda sendiri. Bukan mudah, tetapi jika anda mampu lakukan itulah yang terbaik. Malah, gelaran sahabat baik itu dapat direalisasikan sekiranya anda benar-benar berusaha ke arahnya.


Indahnya persahabatan kerana Allah. Banyak pula ganjaran daripada Allah.

SAHABAT ITU MENYENANGKAN KAMU


Sahabat yang baik satu anugerah daripada Allah..


Bagi yang menghargai sahabat, mungkin sukar untuk melepaskan sahabat yang baik,
Bila berjauhan terasa kehilangannya,
Bila sekali berjumpa, terasa lamanya bersamanya,
Apabila kehilangannya, umapama kehilangan nyawa diri,
Kerana dirinya begitu berharga,
Apabila Sedih, ada rakan untuk berbicara,
Apabila dilanda masalah,
Ada sahabat yang boleh dimadu kasih,
Sahabat yang baik, 
Apabila melihat wajahnya teringat Allah,
Melihat perkataannya menambahkan ilmu Agama,
Melihat gerak gerinya teringat mati.


Sahabat yang baik, 
Dia menyenangkan kamu..
Dia pasti sedih apabila kamu bersedih,
Hatinya akan terluka apabila sahabatnya berduka,
Dia akan gusar apabila sahabatnya memerlukan pertolongan namun dia tidak berjaya menghulurkan bantuan,
Sahabat yang baik itu sentiasa merapatkan hubungan dengan sahabatnya,
Dia akan berusaha memperbaiki ukhwah setiap hari,
Pada dirinya ada kejujuran dalam persahabatan,
Setiap hari, dia tidak akan lupa mendoakan sahabatnya,
Dia juga tidak akan memuji diri sahabatnya berlebihan,
Hanya ketika waktu yang sesuai barulah sahabatnya itu dipuji,
Dia takut setiap pujian yang diberikan akan melemaskan sahabatnya.
Sahabat yang baik itu sukar dicari,
Datangnya menjadi impian,
Ukhwah dengannya pasti menyenangkan.


-Hargailah sahabatmu, amatlah rugi jika nikmat persahabatan tidak dihargai-

Sunday 1 January 2012

SAHABAT BAIK ITU MENDAHULUKAN TUHANNYA..



Mungkin ramai yang terlupa. Sahabat baik itu bukanlah sahabat yang mendahulukan teman-temannya lebih daripada dirinya sendiri. Apapun yang dilakukan, rela didahulukan kepahitan untuk bersama Allah lebih daripada yang lainnya.


Atau mungkin mereka terlupa...


Sahabat yang baik itu sebenarnya bukanlah orang yang suka melihat sahabatnya melakukan maksiat. Sehebat manapun taraf sahabatnya itu, dia sanggup menengur sahabatnya biarpun keperitan yang akan dilalui. Hal ini termasuk dalam salah satu faktor cabang kemanisan iman iaitu mendahulukan Allah dan Rasulnya dalam setiap perkara demi bersama kebenaran.


Ramai yang memilih sahabat yang berdiam diri...


Sebenarnya, sahabat yang selalu memberi peringatan dan teguran tidak selalu dihormati dan dihargai. Mereka ini tergolong dalam golongan sahabat yang dicemuh. Mungkin kesilapan mereka dalam menegur ataupun perkara lain yang tidak disukai rakannya. Sebagai balasan, mereka ada yang dipulaukan dan diberi kutukan yang hebat..


Mereka tidak menghargai....


Sahabat itu mungkin pada jiwanya ingin melihat sahabatnya itu sealiran bersama. Dia tidak mahu sahabatnya yang lain terjebak ke kancah maksiat ataupun perkara lain yang bertentangan dengan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi hakikatnya mereka lebih menyayangi Allah dan rasulnya kerana pada diri mereka ada sedikit kekuatan untuk menegur perbuatan tersebut berbanding rakan yang berdiam diri walaupun maksiat di depan mata.


Lazimnya sahabat yang baik itu akan berhikmah di dalam teguran..


Mungkin sahabat yang menegur itu salah juga tindakannya. Mungkin silap menegur dan tidak kena pada caranya. Ada yang mungkin menegur di hadapan orang lain sehingga mengaibkan. Ada juga yang menegur dengan menyebut nama sahabatnya itu secara terang-terangan. Jadi, apabila kaedah telah tersilap, maka akan hadir permusuhan yang mungkin berlanjutan. Malah akibat mulut badan binasa. Tidak dinafikan niat itu betul akan tetapi caranya tidak kena pada syariat. Niat tidak menghalalkan cara/matlamat.


Saling Nasihat Menasihati..


Apabila telah bersahabat, jangan lupa saling nasihat menasihati kerana nasihat itu inti agama. Ramai yang boleh berubah hanya kerana nasihat dan ramai yang bertambah amalannya hanya kerana nasihat. Jangan biarkan sahabat anda terkontang kanting dibuai angin duniawi. Mereka mungkin lupa, mungkin juga alpa, mereka mungkin tidak mahu terjunam ke jalan itu tetapi mungkin juga nasihat anda mampu mengubah segala-galanya.


Nasihatilah sahabatmu dan jangan semudahnya tinggalkan mereka jika mereka masih mempunyai niat untuk berubah. Mungkin mereka tidak sehebat anda, tidak tinggi ilmunya daripada anda tetapi jiwa mereka masih mengharap rahmat Allah..

SAHABAT JANGAN LEPASKAN TANGANKU!


Tentu pembaca tertanya-tanya kenapa saya hanya menulis artikel berkenaan sahabat. Sudah semestinya saya mahu anda menghargai sebuah persahabatan yang telah ditakdirkan untuk anda. Ingatlah, setiap pertemuan itu tiada yang mengaturnya melainkan dengan kuasa-Nya. Pena telah kering dan setiap pertemuan dan persahabatan yang diciptakan hendaklah dihargai sebaik mungkin..


Saya antara manusia yang terkesan dengan kehendak dan peraturan-Nya. Kerana Dia-Lah yang menjadikan seseorang sahabat kepada saya. Dia telah memberikan jalan kepada saya untuk mencintainya dengan dikurniakan sahabat yang sentiasa mengajak saya mengenalinya dan berterusan dalam melakukan Ubaidillah kepada-Nya.


Mungkin antara kita, masih lagi ramai sahabat yang tidak pernah menghargai sahabatnya walaupun sahabat yang dikurniakan kepadanya adalah yang terbaik daripada Allah untuknya. Ada juga yang mencari sahabat yang terbaik tetapi tidak dikurniakan lagi hingga saat ini. Wallahi, saya juga pernah merasakan keadaan begitu tetapi satu pesanan saya untuk anda, jangan putus asa. Berterusanlah berdoa kepada Allah supaya dikurniakan sahabat yang terbaik. Berputus asa kepada Allah akan menyebabkan terputusnya rahmat Allah. 


Ya, kemungkinan besar, apabila anda dikurniakan sahabat yang baik, secara teorinya perilaku anda akan berubah. Sebagai contoh, anda mempunyai seorang sahabat yang baik perwatakannya malah zuhud peribadinya. Taat perintah Allah dan sentiasa membenci setiap kemungkaran yang dilakukan orang lain walaupun rakannya sendiri. Jika sebelum ini anda tidak pernah mempunyai sifat sedemikian, InsyaAllah, apabila anda dikurniakan sahabat yang sebegitu rupa, anda juga akan terkesan untuk mengikuti jejak langkah sahabat anda tersebut.


Saya mempunyai sahabat InsyaAllah sedemikian rupa. Ada beberapa perwatakan sahabat saya itu membuatkan saya semakin cemburu kepada diri beliau dan kadang kala membuatkan diri saya termenung sejenak dengan sikap dan perwatakan saya selama ini. Secara perlahan-lahan saya menanam azam untuk meniru perilaku sahabat saya itu sedikit demi sedikit. 


Paling saya hormat dengan sikap beliau ialah beliau adalah seorang sahabat yang benar-benar menjaga sebuah persahabatan. Beliau sering kali menghantar mesej bertanyakan kabar kepada rakan-rakannya yang lain. Saya juga tidak ketinggalan. Walaupun saya dan sahabat saya agak jauh terpisah, tetapi dia tidak pernah lupa untuk berhubung dengan saya. Sahabat saya juga adalah orang yang benar-benar menghargai waktu solat. Setahu saya, agak jarang beliau meninggalkan solat di Masjid. Ya, jiwa saya begitu terkesan dengan sikapnya. Saya juga ingin jadi seperti beliau dan kalau boleh lebih lagi daripada itu selagi mana sikapnya itu selaras dengan quran dan sunnah.


Sahabat saya itu juga adalah orang yang boleh memberikan nasihat. Saya masih ingat, ketika itu saya mendapat ujian yang berat, dia telefon saya, dia bagi nasihat kepada saya. Alhamdulillah, hati saya tenang semula. Nasihat dia cukup istimewa bagi saya. Malah boleh menggerakkan semula hati saya yang terkena talbis iblis ketika itu. Allahu Musta'man. Malah, beliau tidak kisah berhabis kredit hanya untuk menelefon saya. Itu yang membuatkan saya semakin rapat dan semakin sayang kepada sahabat saya ini.


Segalanya bermula kerana Allah. Apabila Allah didahulukan, Insyaallah, segala pertalian persahabatan akan diberkati. Ingatlah, ramai sahabat yang menjadi musuh setelah lama bersahabat. Hati mereka tidak terpaut kerana Allah, malah kemungkinan sahaja mereka menjadi musuh yang ketat kerana kehendak dunia, pangkat, harta dan sebagainya. Jadi, apabila anda telah dikurniakan sahabat yang baik. Hargailah dirinya sebaik mungkin, mungkin hilangnya tiada peganti. Mungkin juga itu satu dalam seribu sahabat yang berperwatakan sedemikian.


Ikutilah jejak Nabi bersahabat. Abu Bakar adalah sahabat yang paling akrab bersama nabi sewaktu nabi diutus menjadi rasul sehinggalah nabi wafat. Abu Bakar sahabat yang berperibadi lemah lembut malah beliau sering membantu nabi dalam banyak perkara tidak ketinggalan sahabat yang lain. Apabila di gua, Abu Bakar pernah dipatuk ular dan tidak memberi tahu nabi kerana sewaktu itu nabi sedang tidur di bangku Abu Bakar. Daripada kisah ini, Abu Bakar sangat menyayangi nabi. 


Anda bagaimana? Sayangilah sahabat anda dan hargailah sahabat yang baik kerana datangnya kadang kala tidak diundang dan perginya mengingatkan kita kepada Allah dan rasulnya.

Wallahu A'lam..

Friday 30 December 2011

Kau dan Aku



Ada sebuah cerita yang digambarkan dengan sebuah persahabatan yang indah..sebuah persahabatan yang tidak dapat dilupakan penulis kerana indahnya ukhwah itu.


Waktu cuti raya tahun baru cina pada tahun 2010, penulis berkesempatan untuk ke negeri Kelantan. Pada waktu itu penulis berada di semester 2. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, penulis belajar di sini ditaja sepenuhnya kerajaan dan duit elaun yang diberikan itu penulis memanfaatkannya untuk digunakan untuk bersiar-siar melihat kebesaran Allah. Penulis tidak pernah bertandang ke negeri Kelantan, sebab itu apabila penulis diberi peluang oleh rakan penulis, Saiful Hanif untuk ke rumahnya di Machang, penulis tidak memikir panjang, mungkin ini peluang yang hadir sekali seumur hidup.


Apabila diberi peluang ke negeri Kelantan, banyak perkara yang terfikir dibenak pemikiran penulis. Penulis tidak reti berkata loghat Kelantan tetapi penulis memahami apa yang dikatakan mereka. Paling penting, perkara utama penulis terfikir adalah untuk berjumpa dengan sahabat penulis yang berada di Sekolaha Agama Maahad Muhammadi Lelaki di Kota Bharu. Nama sahabat penulis Nazif. Dia pada waktu itu mengambil STAM. Walaupun rumah penulis dan sahabat penulis ini dekat sahaja di Klang, akan tetapi penulis jarang berjumpa dengan beliau. Maklum sahajalah, dia sedang belajar di sana dan penulis pula belajar di Bangi, jarak yang memisahkan kami berdua.


Penulis awal-awal lagi sudah message kepada sahabat penulis, Nazif untuk berjumpa. Dia juga mahu berjumpa penulis. Sewaktu penulis berada di KB Mall, rakan-rakan penulis berada di sana untuk bermain boling. Sewaktu menunggu rakan penulis datang dipertemukan di KB Mall, penulis sering kali melihat handphone untuk menunggu message daripada sahabat penulis tiba. Namun, beliau tidak dapat berjumpa dengan penulis kerana ketiadaan motor untuk datang ke sana. Di tambah, rakan-rakan penulis yang hadir ke KB Mall juga sudah mahu pulang ke rumah. Walaupun ada rasa hibanya hati tidak dapat berjumpa sahabat penulis, namun itu semua aturan Allah, kita tidak berhak mempersoalkannya. Mungkin Allah akan hadirkan sesuatu yang lebih baik daripada itu. 


Sewaktu penulis pulang daripada berjalan-jalan di sekitar Rantau Panjang khususnya, penulis dan rakan-rakan yang lain singgah sebentar di suatu Masjid berhampiran UM NILAM PURI. Kami solat sebentar di sana memandangkan waktu solat maghrib sudah masuk. Di kawasan perkarang masjid itu penulis terlihat beberapa rakan penulis dikerumi beberapa orang lelaki yang sebaya dengannya. Mereka berkata sesuatu seolah-olah sudah lama berkenalan. Penulis bertanyakan kepada rakan penulis siapa yang berada bersama dia tadi. Dia mengatakan bahawa itu rakan-rakannya sewaktu belajar sebentar di UM NILAM PURI. 


Tidak hairanlah mereka kelihatan mesra. Penulis tidak menegur mereka kerana sudah menjadi tabiat penulis agak malu dengan sesuatu enviroment yang baru yang tidak pernah penulis lalui. Sewaktu di kedai makan, seorang lelaki lebih kurang sebaya penulis, duduk dengan kami. Dia merupakan kawan kepada kawan penulis, Rizduan Ishak. Dengan memakai jubah dan berkopiah, dia menyapa kami dan melayan kami seolah-olah kami sudah lama berkenalan. Rakan penulis yang lain bercerita bersama-sama sehinggalah tiba waktu untuk kami pulang.


Nama beliau, Muhammad Hakimi B. Ismail. Dia pelajar UM NILAM PURI. Sewaktu hendak pulang, dia banyak bertanya rakannya, Rizduan Ishak, dia bertanya kepada penulis keadaan sahabat penulis di sana dan pelbagai lagi. Penulis begitu terkejut. Beliau begitu mengambil berat soal rakannya. Bahkan daripada gayanya, dia mengganggap rakan penulis itu (rizduan ishak) seolah-olah adik beradiknya. Subhanallah..


Ketika hendak pulang, dia memberikan no handphonenya kepada penulis dan juga email facebooknya kepada penulis untuk berhubung. Kini, penulis dan dia sehingga sekarang tidak putus-putus bermesegge. Cuma satu penulis ingin berkongsi. Penulis sebenarnya begitu bersyukur dikurniakan sahabat seperti Hakimi. Penulis selalu memanggil beliau dengan panggilan kimi..Kimi sahabat yang baik. Benar-benar baik. Penulis menghargainya sebagai seorang sahabat kerana banyak perkara penulis belajar daripadanya. Sangat banyak luahan penulis berkongsi dengannya. Penulis cuma hairan kepada remaja zaman ini. Apabila mempunyai masalah, selalu diluahkan kepada yang bukan mahram sedangkan Allah ciptakan kawan sejenis yang halal bagi kita untuk sama-sama berkongsi sesuatu, mungkin juga tempat luahan tetapi kita memandang jijik perkara ini dan menghalalkan yang sudah disepakati ulama sebagai haram.


Mungkin banyak lagi kebaikan Kimi telah berikan kepada penulis. Apabila sudah mengadu kepada Allah sesuatu masalah, penulis kemudiannya berkongsi pula kepada Kimi. Ternyata dia seorang sahabat yang banyak membantu. Dia berikan jalan penyelesaian. Kini, baru penulis tahu, rupanya Allah kurniakan sesuatu yang lebih berharga kepada penulis setelah penulis tidak dapat berjumpa dengan sahabat penulis, Nazif. Inilah 'hadiah' tersebut yang penulis hargainya sehingga sekarang. Sahabat baik yang pada dirinya ada tanda mengajak penulis merenung kembali diri penulis yang hilang kekuatan ukhwah.


Daripadanya Kimi penulis banyak belajar.. Alhamdulillah..penulis sayang sahabat penulis ini..penulis mungkin akan sedih sekiranya kehilangan sahabat sepertinya. Anugerah yang Allah berikan ini InsyaAllah penulis hargainya.Sebelum berakhir kalam penulis. Penulis ada niatkan 3 perkara apabila datang ke Kelantan. Pertamanya, penulis ingin belajar perkara baru dan melihat kebesaran Allah. Kedua, penulis ingin Allah pertemukan sahabat baru dalam dunia penulis. Ketiga, mahu mengeratkan ukhwah dengan rakan penulis. Alhamdulillah, penulis dapat kesemuanya. Benarlah kata nabi:


"Sesungguhnya setiap amalan itu hendaklah dengan niat, dan seseorang akan mendapat apa yang dihajatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka dia akan dapat apa yang dihajatkannya, barangsiapa yang berhijrah kerana dunia ataupun wanita yang ingin dinikahinya, maka dia akan dapat apa yang dihajatkannya."


Hadith ini sahih disisi Imam Sittah.  Maka, penulis dapat apa yang penulis niatkan walaupun sudah lama penulis berdoa kepada Allah supaya dipertemukan dengan sahabat yang baik dan kini, Alhamdulillah, doa penulis dikabulkan Allah. Lambat atau cepat, Insyaallah doa akan dimakbulkan. Paling penting jangan berputus asa. Sahabat yang baik itu menjadikan penulis terdorong untuk melakukan kebaikan..


Wallahu'alam..semoga bermanfaat pada semua.. InsyaAllah.